هجره
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia, dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui, (iaitu) orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal…” ~Surah an-Nahl, ayat 41~42
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus hidup di bumi-Nya ini dan berada di tahun baru 1432 H ini. Sesungguhnya nikmat kehidupan yang terus menerus dikurniakan Allah SWT kepada kita ini wajarlah digunakan untuk meningkatkan amalan dan ketaqwaan kita sebagai bekalan untuk mengadap Allah SWT suatu masa kelak.
Memperingati peristiwa hijrah bukanlah satu kegiatan yang diada-adakan tanpa asas. Sambutan ini yang dibuat untuk memperingati peristiwa hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW sebenarnya telah diperintahkan oleh Al-Quran sendiri. Allah SWT berulang kali di dalam Al-Quran memerintahkan supaya manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh umat-umat yang terdahulu sebagai iktibar dan peringatan untuk semua bak kata pepatah “yang baik dijadikan teladan dan yang buruk jadikan sempadan”
Justeru,memperingati peristiwa hijrah ertinya membelek semula lembaran sejarah untuk melihat dan mempelajari bagaimanakah pengorbanan yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW dan para sahabat demi menegakkan ketuanan Allah SWT di muka bumi ini.
Hari ini, setelah 1432 tahun berlalu, kisah hijrah Rasulullah SAW masih kekal segar dan terpahat kukuh dalam ingatan kita. Persoalannya, adakah cukup sekadar ia diingati dan disebut tanpa dihayati semangatnya? Tentulah tidak. Justeru, marilah kita semua bersama-sama melakukan gerak kerja berhijrah untuk menjadi manusia yang lebih baik pegangannya dan perilakunya selepas ini.
Lakukanlah hijrah ke arah kebaikan dalam semua aspek. Selaraskanlah semua bidang dalam kehidupan agar selari dengan tuntutan mencari keredhaan Allah SWT. InsyaAllah, kita yakin jika semangat ini dapat dihayati dengan sebaik mungkin, kita tidak akan berdepan dengan pelbagai masalah dalam menyusuri reality kehidupan dunia yang sementara ini sebelum kita semua bertemu Allah Rabbul Jalil kelak…
والله أعلم
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete