Facebook...?

1:45 PM Afiqahm 1 Comments

FB, pencorak keperibadian kita?

Oleh : BroHamzah


P/S:ni saye ambil dari salah satu blog abang senior (pnh jd cikgu saye kat MATRI,Perlis)..
asif tidak mencoretkan artikel sendiri..coretan yang amat menarik..bacelah:)..ade edit sikit2:) moga sama-sama ambil manfaat...


Facebook atau FB, telah menjadi satu kegilaan bagi manusia dewasa ini.

Fenomena FB mulai mewarnai kehidupan penggunaan alam maya dan sesawang 6 tahun yang lalu, dan diasaskan oleh seorang remaja yang masih muda ketika itu.

Mark Zuckerberg adalah seorang mahasiswa Universiti Havard yang mencipta laman social ini. Facebook adalah merupakan satu sistem jaringan sosial yang beliau cipta bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan sesama pelajar di Universiti Havard.

Namun ini berkembang dengan pesatnya, apabila ia dikomersialkan untuk umum.

Facebook telah menjadi fenomena di seluruh dunia dan dikatakan sudah mempunyai 500 juta pengguna dan menjadikan pengasasnya billionair termuda di dunia.

Baru- baru ini, Mark Zuckerberg dikatakan mempunyai kekayaan sebanyak 6.9billion USD, mengalahkan pengasas Apple yang telah lama dalam industri. (Forbes)

Majalah Time telah mengiktiraf Zuckerberg dalam ranking ke 52 daripada 101 tokoh sebagai antara ‘tokoh paling berpengaruh dunia 2008, iaitu sebaris dengan nama besar Barrack Obama dan Dalai Lama? Inilah impak facebook.


Filem The Social Network

Dan, terkini saya dapat tahu bahawa akan ditayangkan sebuah filem berkisar FB ini. The Social Network merupakan sebuah kisah benar mengenai pengasas Social Network terkenal di dunia iaitu Mark Zuckerberg pengasas Facebook, yang diarahkan oleh David Fincher(pengarah Panic room, dan Zodiac).

Filem ini bakal ditayangkan di seluruh Malaysia pada 2 Disember 2010 ini.

Mungkin filem ini akan mendedahkan bagaimana facebook ini berkembang daripada sebuah bilik kecil di Universiti Harvard sehinggalah sekarang yang mempunyai lebih 500 juta pengguna aktif di seluruh dunia.

Di Malaysia sahaja, pengguna facebook adalah seramai 7 juta orang.

Sebenarnya tiada apa yang ingin saya coretan banyak tentang si pengasas ini. Cuma saya hendak ajak kita sama-sama melihat FB dari sudut yang berbeza.


Ketagihan FB

Hari ini, rata-rata kanak-kanak, remaja, hatta orang dewasa semuanya memiliki akaun facebook.

Bayangkan, di Malaysia sahaja terdapat 7 juta orang mempunyai akaun tersebut. ( Sangat banyak!)

Dan banyak aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh mereka-mereka yang mempunyai FB ini.

Ada yang menggunakannya, berkongsi maklumat, bertukar-tukar gambar, mencari rakan-rakan lama, melakukan hebahan maklumat, melakukan servis perkhidmatan, memberi komentar gambar yang dipostkan, menyatakan status diri dan sebagainya.

Namun, kita dapati ramai yang sudah mengalami ketagihan FB.

Ya, ketagihan FB ini mulai melanda semua orang.

Di rumah, dipejabat kerajaan, di universiti, ditempat awam, dikedai yang mempunyai kemudahan WIFI, dan di serata tempat.

Dan jika, kita lihat ramai yang akan membuka FB ini.
Betulkah pemerhatian dan pengamatan saya?

Apa tanda anda ketagihan FB?

(1) Jika melayari internet, laman sesawang FB merupakan laman yang pertama yang akan anda buka.

(2) Anda akan rasa tidak selesa jika tidak dapat menghadap FB ini untuk tempoh satu hari. Rasa gelisah, tidak tenang dan menggeletar seluruh jiwa dan raga.

(3) Anda mampu menghadap laptop, atau computer berjam-jam lamanya hanya dengan FB

(4) Anda terlupa untuk melakukan kerja-kerja lain, seperti assignment kuliah, tugasan daripada boss dan sebagainya sehingga mutu kerja dan produktiviti merudum.

(5) Bagi jiwa dan hati anda, tanpa FB anda akan rasai suatu kehilangan dalam kehidupan.

Sama-sama kita check diri kita, adakah kita begitu?

Kelalaian FB

Secara peribadi, FB ini jika disalahertikan dan disalahgunakan ia akan membawa kepada kemudaratan, kelalaian dan kealpaan.

Tanda-tanda kita dalam kelalaian ketika menggunakan FB :

(1) Ibadah harian kita semakin tumpul, dan kita leka serta habiskan masa banyak dengan FB

(2) Ketika azan berkumandang di udara, ketika itu kita tiada keupayaan untuk berhenti daripada melayari FB dan terus leka dibuai indah bersama alam ke”facebook”an.

(3) Berjam-jam masa dan detik kita dihabiskan untuk menjelajahi alam FB, dan kita semakin seronok dan sayang kepada FB

(4) Kita semakin jarang membuka Al-Quran yang menjadi penguat ruhani kita. Jika dahulu, sempat menghadap Al-Quran setiap hari, kini kita semakin jauh daripada ruh Al-Quran.

(5) Zikrullah yang harus menemani kehidupan kita bergantian, dengan FB sebagai peneman hidup yang akrab.

(6) Assignment kuliah yang diberikan pensyarah, gagal disiapkan tepat pada masanya. Dateline terlepas dan berasalan bahawa : “ Saya sibuk dan tidak sempat.”

(7) Dengan FB, kita leka bersembang dan berbicara tanpa arah tujuan sehingga jiwa kita terasa kekosongan dan lebih parah jika teman bersembang kita itu berlawanan jantina.

(8) Budaya kutuk mengutuk, usik mengusik berlawanan jantina, berbincang tanpa asas kemanfaatan dan sebagai mendominasi aktiviti harian kita.

(9) Gambar-gambar yang dishare, ditag dan dikomen lebih banyak membawa kepada kemudaratan, menuju ke arah penyebaran dosa dan maksiat.

Dan, banyak lagi jika disenaraikan. Dan saya yakin anda sendiri mengetahuinya.
FB jika melalaikan, ia harus dinilai semula.

“Telah nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu’ mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka menghindarkannya”

[al-Mu'minun 23: 1-3]

Afwan saya sebut, gambar-gambar para wanita dan adik-adik remaja perempuan begitu mudah untuk dikenali, dilihat dan disedari melalui laman FB ini. Pernah saya sebut kepada para pelajar semasa sesi kuliah saya minggu lepas :

“ Siswi sekalian, jaga-jagalah dalam meletakan gambar anda di FB. Di sana terdapat mata-mata dan hati-hati yang sedang asyik menikmati – kecantikan dan keayunan- anda.”

Dan, apatah lagi jika gambar itu terdedah auratnya atau tidak sempurna penutupannya.

Ia sangat-sangat mengganggu jiwa.

Ia sedikit sebanyak memberi kesan dan calaran kepada kejernihan hati.

Mencorak keperibadian kita

Anda perasaan tak?

Bahawa, FB kepunyaan kita melambangkan keperibadian kita. Apa yang kita tulis, ungkapkan, bicarakan dan nyatakan adalah sifat kita sebenarnya.

Kekadang tanpa disedari, ada yang membuat penilaian dan memerhatikan kita melalui “wajah” facebook kita.

Ia seolah-olah menampakan sisi gelap, sahsiah diri kita dan perangai sebenar kita.


Bijak dalam mengendalikan aplikasi FB

Saya mencadangkan kepada anda yang telah memiliki akaun FB agar benar-benar membuat penilaian terhadap corak penggunaan anda dalam aplikasi FB ini. – Soal diri anda?

Sepanjang tempoh anda membuka dan mendaftar akaun FB, apakah manfaat yang telah anda perolehi?
Apakah yang telah anda buat dengan menggunakan FB ini, dalam menyalurkan kebaikan kepada masyarakat di sekeliling anda?
Adakah FB ini telah memberikan seribu kebaikan atau telah memberi seribu keperitan kepada anda?

Atau, bagaimana?

Saya mencadangkan, - setelah hampir setahun memiliki FB – agar marilah sama-sama kita memanipulasikan aplikasi FB ini dengan berhemah, bijak, berakhlak dan dipenuhi dengan nilai-nilai dakwah. Anda mahu? – Begini :

1)- Setiap hari sebelum menggunakan atau membuka FB anda, perbaharui niat anda bahawa anda menggunakannya adalah untuk tujuan-tujuan kebaikan dan hanya kerana Allah SWT. Niatkan ia untuk mewujudkan suatu komuniti masyarakat alam maya yang baik, harmoni dan soleh. Apabila berniat kerana Allah SWT, sudah tentu segala bentuk amalan yang akan kita lakukan – akan mencenderung kepada amalan-amalan yang Allah SWT cintai dan gemari sahaja.

2)- Hiasi dinding atau wall FB anda dengan petikan-petikan maksud yang diambil daripada Al-Quran dan Hadis. Atau boleh juga sebarkan mutiara kata yang pernah diungkapkan oleh para ulama-ulama muktabar, warak, soleh dan jernih hatinya. Saya yakin – hati kita akan tersentuh. Ruh motivasi tertingkat dan masyaAllah – rasa dekat dan hampir dengan Allah SWT. ( Bayangkan semua dinding FB anda dan rakan anda semuanya sebegitu – MasyaAllah fenomena yang sangat baik dan terwujudnya biah FB yang soleh)

3)- Kongsikan link-link blog atau website yang menarik, berilmu dan mendidik bersama rakan-rakan FB anda. Berikan komentar dan nyatakan pandangan anda tentangnya.- Wujudkan perbincangan, bertukaran pandangan dan sembang-sembang tarbawi di dalamnya. Saya yakin, kita akan perolehi banyak ilmu, perkongsian, pengetahuan dan pengalaman yang menarik.

4)- Berkongsikan (muat turun/upload) video-video berkenaan Islam, ilmu-ilmu bermanfaat, info-info yang berguna dan isu-isu semasa yang akan membawa kepada kebaikan kepada semua orang. Saya lihat, video-video berkaitan sains dan dakwah Islam banyak dikongsikan oleh rakan-rakan saya di FB. Ceramah yang segar, hidup dan penuh sentuhan hati juga memberikan banyak kebaikan kepada saya. Antara tokoh-tokoh yang saya gemari seperti, Dr Zakir Naik, Khaleed Yasin, Yusof Estes, Ahmad Deedat dan ramai lagi. Di samping, tokoh-tokoh ceramah tempatan seperti Ustaz Azhar Idrus, dan sebagainya.

5)- Gunakan aplikasi “notes” untuk menghantar artikel atau catatan perkongsian berbentuk dakwah penulisan yang menarik. Kemudian, tandakan (tag) ia kepada rangkaian rakan-rakan yang ada. Tidak perlu panjang lebar, yang penting ia mampu mengajak rakan-rakan berfikir, bermuhasabah dan menilai diri.

6)- Cipta kumpulan atau group sendiri dan jemput (invite) rakan-rakan menyertainya. Cipta kumpulan yang boleh mewujudkan diskusi yang sihat dan perkongsian ilmu yang baik. Contoh kumpulan, kami cintakan Al-Quran, Kami menyokong Palestin, Kami sayangkan kebaikan dan sebagainya. Di sini, kita perlu menjaga adab-adab bertutur dan perhubungan komunikasi antara lelaki dan perempuan sesuai dengan objektif kumpulan yang kita ciptakan tersebut.

7)- Elakan menjatuhkan kredibiliti sebagai mukmin dan daie’ dengan bermain-main kuiz-kuiz yang tidak mendatangkan faedah. – Ramalan nasib, tilikan perasaan anda, penentuan jodoh, horoskop dan sebagainya. Hal ini adalah kerana keputusan kuiz tersebut akan terpapar di wall FB anda. – Nasihat saya, buangkan segala aplikasi third party seperti kuiz, permainan dan yang seumpama dengannya. Biasanya, - sesiapa yang terbiasa dengan perkara sebegini akan terpinar dan tersihir sehingga dihinggap dengan suatu perbuatan iaitu “ketagih”. Ketagihan dengan FB, maka berhati-hatilah.

8) – Promosikan atau iklankan program-program, aktiviti-aktiviti, kem-kem, ceramah-ceramah dan sebagainya – untuk diperpanjangkan kepada rakan-rakan di FB. Letakan makluman ringkas, seperti tarikh, tempat, objektif program, individu yang terlibat, yuran dan intipati program, Boleh cipta event ini untuk manfaat bersama. InsyaAllah.

9)- Berhati-hati dengan setiap apa yang ada tulis, lakarkan, panjangkan dan lakukan di dalam FB. Bimbang sekiranya tidak peka, kita akan terjerumus ke dalam lembah dosa tanpa sedar.

10)- Mengawal penggunaan FB dengan bijak dan mengutamakan apa yang utama dalam kehidupan. Seorang pengguna alam maya yang baik dan terurus kehidupannya, ialah seorang pengguna yang mampu menghadkan masa penggunaan FBnya dengan hal-hal yang boleh mendatangkan manfaat kepadanya. – Elakan daripada ketagihan yang melampau sehingga melupai daratan dan dunia realiti yang sebenarnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Telah nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu’ mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka menghindarkannya”

Surah al Mu’minun (23) : 1-3

Semoga perkongsian ini memudahkan kita dalam menggunakan FB dengan berpaksikan nilai-nila itarbawi yang mampu mendidik diri dan dimanfaatkan untuk sebarang dakwah kepada semua manusia.

Harapan, agar corak penggunaan FB diwarnai dengan unsur-unsur Islamik yang menyenangkan jiwa yang beriman, menggugahkan perasaan yang dipenuhi himmah dan membantu proses pembangunan keperibadian mukmin soleh.InsyaAllah.

1 comment: