Hati gelap

4:23 PM Afiqahm 0 Comments

Petikan penulisan ummu anas(cth bukunya bangkitlah anak-anakku)..

Moga Allah tunjuki sebaik-baik perkataan untuk menghuraikannya.

Tentu kalian telah sedia maklum, maksiat adalah lawan taat. Kita bicarakan di ruang ini dalam sudut amalan kita terhadap Allah.
Setiap diri mukmin sewajarnya berhati-hati dalam setiap langkahnya agar tidak terperangkap di dalam melakukan maksiat.
Kerana maksiat akan memberi kesan buruk dalam kehidupan dan merosakkan segala amalan;
  1. Tidak beroleh ilmu bermanfaat.Ilmu adalah cahaya yang Allah SWT letakkan ke dalam hati. Sedangkan maksiat memadamkan sinar ilmu.Imam Malik pernah menasihatkan Imam Syafie:"Saya mengetahui Allah telah meletakkan cahaya dalam hatimu. Jangan engkau padamkan dengan kegelapan maksiat."
  2. Sukar beroleh rezeki yang berkat.Pada hakikatnya ketakwaan seorang hamba akan membawa kepada kemurahan rezekinya. Sedangkan meninggalkan takwa akan mendorong kepada kefakiran dan kemiskinan sebenar.
  3. Kerunsingan dan kesepian hati.Hati seorang yang melakukan maksiat tiada kedamaian . Dipenuhi kerunsingan dan keresahan. Walau tertompok harta kekayaan kepadanya, tetap juga dia gelisah dan tidak merasai kebahagiaan.
  4. Mendapat banyak kesulitan.Orang yang tidak bertakwa dan sentiasa melakukan maksiat akan berhadapan dengan pelbagai kesukaran dan kebuntuan dalam urusan hidupnya.
  5. Kegelapan hati.Perbandingan ini menggambarkan hatinya tertutup dari beroleh dan menerima pertunjuk ke jalan kebenaran. Jika ditunjuki jalan kebenaran, hatinya menolak dan terus ingkar.
  6. Melemahkan hati dan badan.Kekuatan diri mukmin terletak pada hatinya yang sihat dan disinari cahaya kebenaran.Sedangkan hati yang bermaksiat, gelap, rosak dan lemah. Dari itu anggota badan orang yang bermaksiat juga terjejas kekuatannya. Telah terbukti sekian lama diri yang gagah tapi hati bermaksiat tidak dapat mengalahkan diri kerdil yang teguh dan taat hatinya.
  7. Kehilangan taat.Dosa dan maksiat yang dilakukan menghalang diri dari terus taat. Sekiranya sudah tiada ketaatan, terputuslah jalan-jalan kebaikan dalam diri seseorang.
  8. Memendekkan umur dan mengikis keberkatan.Umur seseorang dikurangi dan menjadi pendek jika keberkatan hidupnya berkurangan. Keberkatan umur itu pula terletak pada hati yang sihat dan baik. Bermakna hati yang hidup, memberi hayat pada jasad. Jika hati mati, hidup jasad juga tidak membawa erti yang baik.
Sedapatnya hindarilah maksiat. Dan berlaku taatlah kepada Rabbmu, agar sentiasa disianari kebaikan seperti yang diucapkan oleh Abdullah bin Abbas:

"Sesungguhnya kebaikan itu memberi cahaya kepada wajah, sinar pada hati, kelapangan pada rezeki dan kekuatan pada badan. Serta kecintaan ramai orang terhadap dirinya. Ada pun maksiat dan perbuatan buruk memberi warna hitam pada wajah, kegelapan dalam hati, kelemahan badan,kekurangan rezeki dan rasa benci orang ramai kepadanya."

Sehubungan dengan hal ini, renungilah cebisan kisah berikut;

Seorang ulama sufi bernama Ibrahim Adham telah didatangi seorang lelaki yang terlalu lama melakukan berbagai-bagai maksiat yang berat. Lelaki itu mengadu kepada Ibrahim Adham, “Aku seorang pendosa yang sukar dan tak mungkin dapat keluar dari lembah maksiat. Ajarlah aku sesuatu yang boleh menyelamatkan dan memberhentikan aku dari lembah maksiat.”

Ibrahim Adham menjawab: “Kalau kamu boleh berpegang dengan lima perkara ini, nescaya kamu dijauhkan dari dosa dan maksiat":
  1. Jika akan melakukan maksiat, cari jalan Allah tidak melihatmu.
  2. Jika akan membuat dosa, jangan sesekali makan rezeki Allah.
  3. Jika masih berbuat dosa, jangan tinggal di bumi Allah lagi.
  4. Jika malaikat maut datang mencabut nyawa sebelum taubat,
  5. Tolaklah dia dan jangan biarkan nyawa kamu dicabut.
  6. Jika tiba-tiba malaikat maut mencabut nyawamu ketika melakukan dosa dan kemudian malaikat Malik akan memasukkan kamu ke neraka, mintalah hidup lagi untuk bertaubat menampal dosa.

Orang itu berubah wajah menjadi pucat, terlalu takut dan menginsafi dosa-dosanya. Sejak hari itu, orang-orang yang mengenalinya, mendapati lelaki itu menjadi ahli ibadah yang terhindar dari perbuatan-perbuatan dosa.

Sebagai kesimpulan, iman yang terisi di hati kalian perlu sentiasa disuburkan.
Ianya akan menjadi pengawal kuat dan umpama cahaya menerangi semua sudut hidup kita. Nanti dosa terpadam dan hati hilang gelapnya.
Lalu terbit sinar terang yang menyuluh pemiliknya menghayun langkah di jalan kebenaran. Hinggalah seterusnya terbit hubungan dan ikatan yang kuat dengan Allah.
Di sinilah bermula langkah kepada jalan menuju kebahagiaan hakiki yang makmuran hidup insan sejagat.


Wallahu’alam.
Ummu Anas
p/s:sape nk bace artikel dye..minx kat sye ye:) smoga bermanfaat:)

0 comments: